07 April 2012

DAKWAH ILALLAH

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Surah Ali-Imran:31]

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata...” [Surah Yusuf:108] 

Prioriti didalam usaha mengembalikan kekuatan ummat

Ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam wafat dan Khalifah Sayyidina Abu Bakar Siddiq Akbar Radhiallahu anhu baru dilantik menjadi khalifah, ummat Islam pada masa itu dilanda ujian yang besar dari Allah Taala. Diantaranya, terdapat segolongan ummat Islam yang tidak mahu membayar zakat (penurunan dari segi amalan syari'at Islam), terdapat segolongan ummat yang murtad (ancaman aqidah), dan timbulnya nabi palsu Musailamah al-Kazzab si penipu besar (wujudnya ajaran sesat). Ancaman dari luar juga datang dari Rom (kuasa besar Nasrani dari barat semenanjung tanah arab) dan Parsi (kuasa besar Majusi dari timur semenanjung tanah Arab).

Bagaimanakah Khalifah Abu Bakar Radhiallahu anhu berhadapan dengan masalah-masalah ini? Keputusan telah dibuat untuk menyelesaikan masalah dalaman terlebih dahulu, dengan cara menghantar jemaah-jemaah dakwah dan jihad ke seluruh pelosok negeri dan kawasan Islam pada masa itu, menyeru agar ummat Islam kembali kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mengamalkan kembali kesempurnaan agama didalam kehidupan. Nabi palsu dan para pendokongnya pula, oleh kerana mereka mengangkat senjata, maka mereka ditentang dan diperangi sehingga tewas dan hancurlah kebatilan yang dibawa oleh si penipu besar Musailamah itu.

Jemaah-jemaah ini telah dikeluarkan dari bandar Madinah Munawwarah, sehingga tidak kedengaran azan buat beberapa hari kerana tiadanya lelaki bagi melaungkannya. Yang tinggal cumalah wanita, kanak-kanak dan orang-orang yang uzur.

Apabila telah disempurnakan usaha menyelamatkan iman dan kesempurnaan syariat, maka jemaah-jemaah dakwah barulah dihantar dengan giat kembali ke seluruh pelusuk dunia.

Hari ini, ummat Islam dilanda ujian yang lebih parah jika dibanding dengan keadaan yang dihadapi oleh Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu anhu. Bukan setakat tidak mahu mengeluarkan zakat, malah solat pun telah ditinggalkan oleh begitu ramai orang-orang Islam sendiri. Ummat Islam yang murtad pun berlaku dengan jumlah yang ramai, malahan begitu berbangga dengan kemurtadan mereka, Na'uzubillah. Dan begitu banyak ajaran-ajaran sesat yang timbul; ada yang mengaku Nabi, mengaku Rasul melayu, mengaku Imam Mahdi, mempunyai kerajaan langit dan pelbagai macam lagi dakwaan yang sesat dan menyesatkan.

Maka adakah menjadi kesalahan sekiranya bangun satu golongan dari kalangan ummat ini, yang dipimpin oleh alim ulama' yang muktabar, menyeru agar usaha perbaikan secara besar-besaran dilakukan ke atas ummat Islam dengan menghantar jemaah-jemaah dakwah ke seluruh dunia? Dengan berusaha agar ummat Islam hari ini kembali mengamalkan agama yang sempurna, sebagaimana yang diusaha dan dilaksanakan oleh Khalifah Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu anhu?

Adakah sesuatu yang batil sekiranya usaha dakwah manusia kepada Allah  ini dilaksanakan tanpa menafi atau menolak usaha dakwah ke atas orang bukan Islam? Tanpa menolak kepentingan usaha atas politik/kenegaraan Islam? Tanpa mempertikaikan usaha mempertahankan ummat Islam dengan mengangkat senjata melawan kafir yang menceroboh negara ummat Islam dan membunuh orang-orang Islam?

Marilah kita sama-sama merenung dan memikirkan perkara ini. Semoga Allah memberi kita kefahaman

No comments: